Thursday, January 28, 2010

Merisik/Hantar Tanda



























sebelum bertunang dan kawin.. ada adat merisik
persoalan dalam kepala :
baju apa nak pakai - sewa atau tempah? berapa$$?
kene panggil orang make up ke? berapa $$?
kene set rambut ke?
kene bagi hantaran ke?

atau just tunggu di rumah dengan baju kurung & make up sendiri ala kadar cam hari raya..

rasanya tak yah la membazir duit smpai nak sewa2 baju, upah org mekap, set rambut.. hantaran pun tak payah.. takat merisik tu pkai la baju yg lawa (baju kebaya ke ape ke), rambut set sendiri ke, mekap takyah la tebal2.. (mekap sendri jek).. nama pun merisik. so takde la ape sgt..

merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka. ...persoalannya..adakah anak lelaki mereka terbaik untuk perempuan itu?:hmm:

Barang Hantaran

Pihak Lelaki Kepada Perempuan

- Wang Hantaran
- Kasut+Beg
- Perfume
- Kain Pasang
- Telekung
- Tafsir Al-Quran
- Sireh Junjung
- Kek
- Kuih
- Buah-buahan
- Coklat
- Cincin
- Tepak Sireh
- Bunga Rampai

Pihak Perempuan kepada Lelaki

- Kasut
- Perfume
- Kain Baju Melayu
- Sejadah
- Tafsir Al-Quran
- Sireh Junjung
- Kek
- Kuih
- Buah-buahan
- Coklat
- Cincin
- Tepak Sireh
- Bunga Rampai
- Kemeja
- Jam

Persiapan Perkahwinan

Kebanyakan pasangan bakal pengantin tidak menitikberatkan soal persiapan untuk menghadapi hari bahagia mereka. Rata-rata bagi mereka urusan itu diserahkan 100 peratus kepada ahli keluarga atau mak andam yang ditempah. Inilah antara punca di mana ada sesetengah pasangan pengantin yang tidak berpuas hati dengan majlis perkahwinan mereka. Sepatutnya, pasangan pengantin ini, perlu meluangkan masa untuk merancang keseluruhan majlis serta kelancarannya. Majlis perkahwinan ini penting, kerana ia hanya hadir sekali dalam hidup pasangan tersebut.

Seeloknya, sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan di jari manis wanita idaman, kedua-dua pihak bolehlah menyediakan persiapan untuk majlis perkahwinan secara berperingkat-peringkat. Jangan tangguhkan persiapan perkahwinan, kerana dikhuatiri masalah-masalah lain akan timbul. Biarpun tempoh perkahwinan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak masih jauh lagi, misalnya dua atau tiga tahun akan datang, tetapi persiapan perkahwinan harus dimulakan. Paling tidakpun, anda perlu merancang jumlah perbelanjaan yang akan digunakan dalam majlis itu nanti.

Senaraikan segala barangan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk majlis tersebut. Apa yang anda perlukan dan idamkan, perlulah dicatit supaya tidak tercicir dalam saat anda hampir menjadi raja sehari.

Dewasa ini, anda amat bertuah kerana anda boleh mendapatkan informasi perkahwinan di merata-rata media, terutamanya majalah. Terdapat beberapa majalah yang khusus untuk pasangan pengantin. Ia merangkumi tips, hantaran, pakaian, pelamin, kad jemputan dan sebagainya. Selain itu, anda boleh merujuk kepada butik-butik yang menawarkan perkhidmatan runding bagi majlis perkahwinan.

Jurunikah atau 'tok kadi' merupakan orang yang paling penting dalam memastikan anda 'diijab kabulkan' dengan selamat, teratur dan lancar. Anda perlu mencari jurunikah ini lebih awal kerana dikhuatiri mereka telah ditempah oleh pasangan lain, pada tarikh yang sama.

Apabila menyentuh soal kenduri, pastikan kaedah mana yang ingin digunakan, sama ada menggunakan khidmat katering atau memasak sendiri. Jika anda memilih katering, tempahan hendaklah dibuat seawal mungkin. Jangan menyerahkan segala-galanya kepada katerer dalam soal menu, kerana selain kelancaran majlis, tetamu yang hadir juga menilai menu yang dihidangkan. Sebaiknya berbincanglah dengan katerer berkenaan, menu yang sesuai dengan suasana majlis anda dan pastikan ia berpatutan dan mencukupi. Anda juga boleh menempah katerer yang lain jika dirasakan tidak sesuai.

Bagi mereka yang lebih selesa memasak sendiri, pastikan menu yang ingin dihidangkan dan senaraikan segala bahan yang diperlukan. Perkara penting yang harus dititkberatkan juga ialah tenaga kerja yang akan membantu anda untuk bergotong-royong. Tenaga kerja perlulah mencukupi dan sediakanlah sedikit wang, bagi menghargai bantuan dan pertolongan mereka.

Tempahan khemah juga hendaklah dibuat lebih awal. Hal ini kerana penggunaan khemah mempunyai permintaan yang tinggi. Selain itu tujuannya bagi memastikan ia dapat didirikan pada masanya. Semasa memilih khemah, pastikan ia mempunyai kipas bagi memastikan keselesaan tetamu yang hadir.

Kad jemputan memainkan peranan dalam menentukan jumlah tetamu yang dijemput menghadiri majlis anda. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk kad jemputan di pasaran. Anda hanya perlu pilih yang sesuai dan senada dengan warna pelamin atau baju pengantin anda. Apa yang penting ialah, pastikan cetakan nama anda dan pasangan anda serta alamat betul. Jika tidak segeralah membuat pembetulan.

Bagi mereka yang ingin mengelakkan pembaziran dan menghadkan perbelanjaan, bolehlah sertakan sekali kad jawapan di dalam kad jemputan anda. Bagi mereka yang akan hadir, mereka akan menghantar semula kad jawapan tersebut, berserta bilangan orang yang akan hadir ke majlis anda. Dengan itu, anda bolehlah merangka perbelanjaan anda. Tetapi awas, ada juga tetamu yang tidak menghantar semula kad jawapan tersebut, tetapi hadir ke majlis anda.

Mungkin anda pernah menghadiri majlis perkahwinan di mana kompangnya dimainkan melalui kaset atau cakera padat. Apa yang anda dapat rasakan ketika itu? Tentunya majlis itu kurang meriah. Bagi mengelakkan situasi itu, anda perlulah menempah pasukan kompang dengan lebih awal.

Bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan mak andam, perlulah menempah mereka lima atau enam bulan lebih awal. Pilihlah mak andam yang bersesuaian, bagi memastikan penampilan anda sebagai raja sehari benar-benar memuaskan. Anda boleh meminta mereka menyolek anda (sebagai percubaan), agar solekan mereka memuaskan hati anda dan mampu menaikkan seri wajah anda.

Selain perkhidmatan solekan, mak andam juga biasanya mempunyai set pelamin dan baju pengantin. Jadi anda berpeluang memilih pelamin dan baju yang bersesuaian dengan citarasa anda. Anda juga boleh meninjau di butik-butik pengantin yang menyediakan fesyen terkini atau kontemporari, yang mungkin lebih menarik perhatian anda.


Seperti yang kita sedia maklum, majlis seumpama ini dilakukan sekali seumur hidup. Bagi memastikan kenangan itu terus terpahat di hati, anda bolehlah menempah jurufoto atau jurukamera untuk merakamkan detik-detik manis anda bersama. Elakkan daripada meminta saudara-mara anda yang merakamkan gambar-gambar anda kerana mungkin ia kurang berkualiti. Bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, pilihlah jurufoto atau jurukamera yang pakar dalam bidang mereka, ini bagi memastikan detik manis anda bersama suami atau isteri sentiasa di ingatan.

Jadikanlah majlis raja sehari anda, majlis yang diingati oleh semua tetamu yang hadir. Kelancaran dan kemeriahan majlis adalah penting, dengan itu rancangkan sebaik mungkin majlis yang anda inginkan.

Sunday, January 17, 2010

Aku bakal bergelar Permaisuri....

Perkahwinan adalah satu ibadah

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.


Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang."

Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.

Dari sudut syara', hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.


Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

"Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang".

Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.

Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.


Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya."


Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula."

Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Dari: DR. SOBRI SALAMON, Dec. 28, 2002.